AYAT GERAK

Program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) - Peruntukan RM221.6 Juta Tahun 2009

Kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM221.6 juta tahun ini kepada program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebagai usaha memperkasakan program berkenaan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata peruntukan hampir 40% dari peruntukan tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap program itu."Kementerian Kewangan pula memberi peruntukan khas di bawah waran peruntukan B.11 (Perkhidmatan Am Perbendaharaan Peruntukan Projek/Program Jakim) sebanyak RM2.3 juta untuk latihan guru dan penyelia serta perolehan peralatan bantu mengajar kelas KAFA seluruh negara," katanya.Jamil Khir berucap merasmikan Multaqa Penyelia dan Guru KAFA Johor, di sini, Sabtu.Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman.Beliau berkata terdapat kira-kira 34,000 guru KAFA di seluruh negara dengan lebih 1,000 daripadanya di negeri ini. Menurut beliau, Jakim sedang mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan untuk menaikkan elaun guru KAFA.

(Sumber: Bernama - 27/06/2009 - 19:18pm)