AYAT GERAK

Ujian Penilaian Kelas Kafa setanding UPSR dikaji

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memantapkan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi membolehkan ia juga diambil kira setanding dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika pelajar memohon memasuki Tingkatan Satu sekolah menengah kebangsaan agama milik kerajaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam. “Kita mahu menjadikan peperiksaan UPKK sebagai kayu ukur untuk pelajar memasuki Tingkatan Satu ke sekolah menengah kebangsaan agama yang akan dinilai bersama keputusan UPSR. “Selama ini keputusan UPKK hanya menjadi sebahagian kecil daripada penilaian untuk memasuki sekolah menengah agama dan dengan cara memperkasa UPKK, ia akan memberi motivasi kepada pelajar supaya turut menumpukan kepada pengajian Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) kerana mereka tahu keputusannya akan mempengaruhi peluang mereka memasuki sekolah menengah agama,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau berkata, peperiksaan UPKK akan menjadi pendorong kepada pelajar yang minat memasuki sekolah menengah kebangsaan agama supaya turut menumpukan kepada kurikulum kelas Kafa. Katanya, perkara itu dibentangkan kepada majlis agama setiap negeri yang berkuasa terhadap hal-ehwal agama di negeri masing-masing sebelum dapat dilaksana. “Kita berharap langkah memperkemaskan UPKK itu akan dapat dilaksanakan secara seragam selepas mendapat persetujuan setiap negeri,” katanya. Selain itu, katanya, turut dibincangkan mengenai langkah menyeragamkan logo halal menerusi pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 1972 yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan. Beliau berkata, kertas cadangan penyeragaman logo halal itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan kerana kuasa mengeluarkan taraf halal terletak pada bidang kuasa Sultan di negeri-negeri.