AYAT GERAK

Peka kah kita?

"Kalau ada problem bagitau je. Insya Allah aku boleh tolong, kecuali duit". Itulah ungkapan yang sering kita gunakan terhadap teman-teman. Samada niat bergurau atau sememangnya bermaksud begitu hanya Allah yang mengetahuinya. Seolah-olah saling memahami, amat sukar untuk memohon bantuan kewangan daripada teman-teman. Budaya kita menjadikan kita merasakan bahawa masalah kewangan adalah masalah masing-masing dan seharusnya diselesaikan sendiri.
Terdapat berbagai keadaan manusia di sekeliling kita. Ada yang fakir samada bersifat meminta atau rela berdiam diri dan menderita. Ramai pula yang mencukupi seadanya. Ada pula yang sepatutnya mencukupi tetapi menderita kerana ingin meningkatkan kualiti diri seperti melanjutkan pelajaran dan sebagainya. Segelintir pula ada yang berlebihan malah ada yang terlalu mewah. Indahnya hidup ini jika semua manusia memahami bahawa setiap kita saling melengkapi. Allah sengaja menguji dengan meletakkan sebahagian rezeki terletak di tangan mereka yang patut memberi. Dalam Surah Az-Zaariat ayat 19 Allah berfirman :
وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُوم yang bermaksud; dan dalam harta milik mereka ada mengandungi hak bagi si miskin yang meminta dan yang mendiamkan diri.
Ketika mana musibah menimpa Arwah Ustaz Khairuddin, kita terkilan memikirkan bagaimana mungkin beliau terpaksa bekerja part time bagi menambah pendapatan. Namun hakikatnya, berapa kali kah kita pernah terfikir, mengambil tahu apatah lagi berusaha menyelesaikan masalah kewangan teman-teman. Jika tidak kerana kematian, tangkapan BPR dan sebagainya, masalah ini akan berterusan menjadi masalah peribadi. Semoga selepas ini ungkapan kita terhadap teman akan berubah menjadi ; " Kalau ada problem terutamanya kewangan, bagitau je. Insya Allah aku boleh tolong".
Abu Izzah At-Tualanji
http://ppuponline.blogspot.com/